https://khazanahpenawar.wordpress.com/2015/08/09/ubat-resdung-paling-berkesan/

Monday 22 June 2015

Hassan Malek : Rosli ni Tak bergaul Dengan Orang, Sebab Tu Tak Terima Zakat

KUALA LUMPUR: Menyara tiga orang anak yang bersekolah dengan wang bantuan persekolahan sebanyak RM300 sebulan merupakan bebanan hebat buat Rosli Hamid yang lumpuh kedua kakinya selepas terlibat dalam kemalangan motosikal.

Rosli, 46, kini terpaksa bergantung harap sepenuhnya kepada wang Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan selain berdoa mendapat bantuan wang zakat yang sudah dipohonnya sejak tahun lepas.

Beban Rosli yang kini menetap di Kampung Air Itam, Terachi, Kuala Pilah itu dilihat semakin berat selepas dikatakan terpaksa berpindah dari rumah sewa yang didudukinya dengan kadar RM100 sebulan kini.

"Anak ada tiga, seorang darjah tiga, seorang darjah satu dan seorang lagi pra-sekolah.

"Mereka mendapat bantuan persekolahan sebanyak RM300 sebulan, jadi tiga anak ini akan berkongsi RM300 untuk wang belanja serta keperluan sekolah sehari-hari," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

GALERI FOTO: Kasih ayah sepanjang masa, pengorbanan ayah tiada tandingan


Saya benar-benar mengharap wang zakat untuk meringankan beban kehidupan

- Rosli

Rosli terlibat dalam satu kemalangan motosikal sewaktu dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Kajang ke rumahnya di Kuala Pilah pada tahun lepas.

Sejak itu, dia hanya terbaring di atas katilnya setelah seharian mencari rezeki ala kadar dengan kerja-kerja kampung.

BACA: Zakat Rohingya: 'Ramai lagi rakyat kita yang susah' - Che Mat

Rosli kini tinggal di rumah sewa selepas beberapa kali berpindah dan menetap bersama ibunya yang berusia 77 tahun.

Kata Rosli, paling menyedihkan apabila dikatakan ketua kampungnya tidak memberikan bantuan selepas permohonan zakat melaluinya dibuat pada tahun lepas.

BACA: RM1.7 juta sumbangan Projek Ihsan Tabung Haji seluruh negara

"Dia (ketua kampung) tidak mahu angkat tangan walaupun berselisih di tepi jalan. Dia seolah-olah tidak mahu melayan saya.

"Saya benar-benar mengharap wang zakat untuk meringankan beban kehidupan. Saya sudah memohon namun sehingga kini masih tidak ada sebarang maklum balas.

"Kenapa jadi begini? Saya rasa benar-benar layak untuk mendapat zakat dan keperitan hidup dengan bergantung kepada wang bantuan persekolahan, JKM dan kerja-kerja kampung dengan keadaan diri yang tidak sempurna benar-benar memeritkan," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Pilah Datuk Seri Hasan Malek berkata, Rosli perlu segera membuat aduan kepada pusat khidmat wakil rakyat di kawasannya.

Hasan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menjelaskan, Rosli juga tidak boleh terlalu mudah membuat dakwaan kepada ketua kampung tanpa mengetahui perkara sebenar mengenai status permohonan zakatnya.

"Dia (Rosli) perlu lihat kembali permohonannya, apakah ada masalah atau dokumen yang tidak lengkap di sana.

"Kita tidak pernah meminggirkan mana-mana penduduk yang susah, saya sendiri turun padang setiap minggu untuk bersama penduduk Kuala Pilah mengikut bahagian. Apa juga aduan akan saya lihat dan salurkan bantuan.

"Susah jika ada aduan yang terus ke media tanpa berbincang dengan pihak saya terlebih dahulu. Kita tidak mahu ada penduduk yang cakap terpinggir selepas kerajaan sendiri ada memberi bantuan melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)," katanya.

Dalam pada itu jelas Hasan, Rosli mungkin kurang bercampur dengan penduduk lain sehingga kesusahannya menjadi seolah-olah kes terpencil.

"Rosli mungkin tidak membuat aduan melalui ahli jawatankuasa kampung dan pegawai kawasan sendiri.

"Saya andaikan Rosli ini kurang hidup bermasyarakat namun kita akan kaji semula kes ini selepas menerima aduan, kita tidak mahu ada penduduk yang terpinggir," ujarnya.

Menurut laman Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), agihan zakat di negeri itu pada tahun 2013 adalah RM76,833,689.98.

Ia merangkumi agihan antaranya kepada amil, miskin,muallaf, fakir dan fisabillilah.


sumber


Friday 5 June 2015

11 Fakta Ini Sebenarnya Palsu Tapi Ramai Yang Percaya!

Jangan terkejut! Mungkin anda akan rasa tidak percaya dengan pembongkaran beberapa fakta di bawah. Tapi hakikatnya, inilah kebenaran yang selama ini kita tidak tahu. Lihat 11 senarai di bawah:

1. Tembok Besar China merupakan satu-satunya objek buatan manusia yang jelas dilihat dari angkasa menggunakan mata kasar.



Tidak benar.

Tembok Besar China mendapat tempias populariti yang hebat disebabkan mitos ini. Sebenarnya, adalah cukup sukar untuk melihat Tembok Besar China dari mana-mana ruang angkasa. Walaupun berada pada orbit rendah Bumi, Tembok Besar China tidak mungkin dapat dilihat dengan mata kasar. Bahkan dengan bantuan lensa kamera yang cukup besar dan canggih sekalipun, masih mencabar untuk mengatakan jika anda sedang melihat Tembok Besar China atau tidak.

2. Lain bahagian lidah mengesan rasa yang lain


Tak betul.

Lidah kita mengandungi sehingga 10,000 tunas rasa, masing-masing berisi dengan pori-pori dan reseptor rasa. Sel-sel ini adalah sama pada seluruh permukaan lidah kita. Setiap orang mempunyai bahan kimia dalam air liur, yang berupaya mengesan dan memberitahu kita tentang rasa sesuatu benda atau makanan. Setiap kali air liur yang mengandungi bahan kimia membuat sentuhan dengan mana-mana makanan pada permukaan lidah, tidak kira pada bahagian mana sekalipun, rasanya akan dikenal pasti.

3. Lembu akan naik marah jika ternampak warna merah


Bukan itu sebenarnya.

Krew dari MythBusters TV telah membongkar mitos ini beberapa tahun yang lalu. Mereka berjaya mendapatkan tindak balas yang sama dari lembu jantan ketika matador menggunakan bendera merah, bendera biru dan bendera putih. Sejurus selepas matador mengibarkan bendera, lembu jantan didapati memberikan reaksi yang sama pada ketiga-tiga bendera tersebut. Jadi jelas di sini bahawa warna merah tidak memainkan peranan langsung dalam mendapatkan tindak balas daripada lembu. Pergerakan bendera itu sebenarnya yang menarik minat lembu untuk datang menerjah.

4. Gunung Everest adalah gunung tertinggi di dunia


Ya, memang salah.

Gunung Everest adalah salah satu gunung yang terbesar, tetapi adakah ia juga tertinggi di dunia? Jawapannya bukan. Pengiraan sama ada gunung itu tertinggi adalah ditentukan dengan sejauh mana ia menjulang dari atas permukaan laut. Secara teknikalnya, memang benar Gunung Everest adalah gunung tertinggi di dunia jika dikira dari dasar ke puncak. Namun begitu, jika dikira sekali dengan permukaan bawah laut, Gunung Everest berada di tempat ke-2.

Mengikut pengiraan ini, gunung tertinggi di dunia adalah Gunung Mauna Kea di Hawaii. Ketinggian Gunung Mauna Kea dari permukaan laut ke puncak hanyalah sebanyak 4,206 meter. Tetapi jika dikira dengan bahagian besar yang tenggelam di dalam air, ketinggiannya mencecah sehingga 10,200 meter! Gunung Everest pula mempunyai ketinggian sebanyak 8,848 meter, namun langsung tiada bahagian bawah air.

5. Biawak/Sesumpah berubah warna mengikut persekitaran


Tidak sama sekali.

Saintis bersetuju penukaran warna oleh biawak bukan untuk tujuan menyamar. Ia lebih berkait dengan sistem komunikasi mereka. Selalunya, penukaran warna ini bertujuan untuk memberi isyarat kepada biawak lain, yang dicetuskan oleh perasaan pencerobohan, perlindungan atau keinginan untuk mengawan. Dalam masa 20 saat, biawak ini boleh bertukar warna yang berbeza melalui tindak balas sel-sel dalam otak mereka.

6. Kilat tidak akan menyambar pada tempat yang sama dua kali


Fakta ini tidak benar.

Tidak ada sebab fizikal, meteorologi, geografi atau geologi mengapa kilat tidak dapat menyerang di tempat yang sama dua kali. Setiap kali badai petir muncul, kilat akan mencari konduktor dan pelbagai peralatan logam di atas bangunan tinggi untuk disambar. Kilat dikatakan menyerang konduktor di atas bangunan tinggi dan menara seperti Bangunan Empire State di NEW York, Menara Eiffel di Paris, Menara CN di Toronto, Menara Sydney dan Auckland Sky Tower sebanyak 50-100 kali setahun. Malah pemerhati cuaca dan pemburu ribut di seluruh dunia juga menjamin fakta bahawa petir sering menyerang dua kali di tempat yang sama.

7. Kelawar buta


Tidak, kelawar tidak buta.

Walaupun sesetengah kelawar mempunyai mata yang lebih besar dan penglihatan jauh lebih halus berbanding yang lain, tidak ada satu pun dari 1200 atau lebih spesis kelawar yang buta secara semula jadi. Sebenarnya, kadar penglihatan kelawar dalam keadaan gelap adalah lebih baik daripada manusia. Kelawar juga boleh mengesan jarak dengan menghantar bunyi frekuensi tinggi yang dipantul melalui objek terdekat. Jadi, kelawar sebenarnya tidak buta dan jauh lebih pintar daripada apa yang kita bayangkan sebelum ini.

8. Kolesterol dalam telur adalah buruk untuk jantung


Mungkin tidak.

Anda perlu tahu ada dua jenis kolesterol, kedua-duanya diperlukan oleh tubuh iaitu kolesterol pemakanan dan kolesterol darah. Kolesterol darah terbahagi kepada dua kategori - High-Density Lipoprotein (HDL) dan Low-Density Lipoprotein (LDL). LDL ini adalah salah satu kolesterol yang tidak baik kerana ia melekat pada dinding arteri dan mempunyai potensi untuk membawa kepada penyakit jantung. Lemak tepu adalah penyebab utama dalam meningkatkan kolesterol darah, dan yang penting, kadar LDL ini. Telur, bagaimanapun, tidak mempunyai lemak tepu dan hanya mengandungi kolesterol pemakanan, bukan kolesterol darah.

9. Anda perlu regangkan badan atau 'stretching' sebelum bersenam


Tak payah pun tak apa.

Penyelidikan terkini mendapati terdapat banyak sebab mengapa regangan mungkin tidak bagus seperti yang kita pernah tahu. Salah satunya ialah, regangan sebelum latihan bukan sahaja tidak diperlukan, malah boleh menjadi tidak produktif.

Satu kajian menyifatkan otot adalah sama seperti gelang getah. Seperti mana gelang getah kekurangan fleksibilitinya apabila diregang, otot juga kehilangan beberapa fleksibiliti jika terlalu banyak diregang sebelum latihan sebenar bermula. Terdapat juga bukti-bukti penyelidikan yang menunjukkan sama ada kemungkinan kecederaan atau masa pemulihan, kedua-duanya tidak ada kena-mengena dan tidak dapat dikurangkan dengan regangan sebelum bersenam.

10. Planet Marikh berwarna merah


Ia sebenarnya bukan.

Pengkaji bintang mendakwa planet Marikh tidak bukan berwarna merah apabila dilihat melalui teleskop, manakala gambar definisi tinggi yang ditangkap oleh teleskop Hubble atau ekspedisi robot ke permukaan planet ini telah mendedahkan bahawa, dari dekat, warna persekitaran Marikh sebenarnya lebih kepada kekuningan, dengan warna-warna lain yang turut hadir termasuk emas, coklat, dan warna kehijauan. Dari jauh pula, debu-debu yang berkeliaran di sekeliling Marikh melihatkan seluruh planet ini seperti kemerahan.

11. Anda akan dapat Atritis jika anda "meretakkan" sendi


Jangan risau, anda takkan!

Artritis adalah keradangan sendi. Membunyikan (atau meretakkan) sendi pada mana-mana bahagian badan tidak pernah dibuktikan sebagai penyumbang kepada keradangan sendi, dan kepada mana-mana penyakit lain yang berkaitan. Sehingga kini, masih tidak ada bukti kukuh yang menyokong kenyataan tersebut.

Bunyi "retak" atau "pop" yang kedengaran adalah tidak lebih daripada gas-gas yang berlebihan dibuang dari cecair yang mengelilingi sendi. Apabila tekanan dalam ruang sendi menjadi terlalu tinggi dan lebih banyak ruang perlu diperlukan untuk sendi bergerak dengan selesa, ruang akan terbuka dan gas dilepaskan, maka muncullah bunyi "pop" pada bahagian sendi yang diberi perhatian.

Menarik bukan? Jangan rasa tertipu macam kucing ini pula ya!