https://khazanahpenawar.wordpress.com/2015/08/09/ubat-resdung-paling-berkesan/

Monday, 7 December 2015

Tun M : Arab gila pun tak akan derma RM2.6 bilion


Dr Mahathir Mohamad mempertikaikan penjelasan bahawa RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak adalah derma daripada Timur Tengah.

Secara sinis beliau berkata, jika “tok Arab” itu gila sekali pun, pasti beliau tidak akan menderma sejumlah wang yang amat banyak itu.

“Saya akan hadir ke mesyuarat agung Umno bagi mendengar (mengenai kewangan parti), yang mana bendahari mesti ikut peraturan jelaskan kewangan Umno, ada atau tidak RM2.6 bilion?

“Kalau tidak ada, di mana (duit itu)? (Kalau) duit itu dari tok Arab, saya ingat tok Arab itu gila,” katanya.

Malah, katanya, pengalaman beliau sendiri meminta derma, seperti untuk penubuhan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) sebelum ini amat sukar.

“Tahu dari negara mana (yang bagi)? Kosong, katanya sambil disambut gelak ketawa peserta dalam acara di Kuala Lumpur bersama Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin sebentar tadi.

Sementara itu, Mahathir juga berkata pernah meminta derma bagi menyiapkan dewan Pusat Islam namun tidak ada negara yang sudi memberikan sumbangan.

“Saya tulis surat, semasa itu saya belum jadi perdana menteri, tulis surat minta derma untuk kita sudahkan dewan saya cuma dapat jawapan dari Libya, lain-lain negara tidak jawab.

“Saya tidak dapat satu sen, (yang saya minta) ini untuk Islam.

“Tiba-tiba Datuk Seri Najib dapat RM2.6bilion,” sindirnya.


Noor Farida - "Ketuk pintu jam 3.00 pagi kerana khalwat, bertentangan dengan Islam !"


Selepas mencadangkan pemansuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), kumpulan bekas penjawat awam, G25 pula mahu penubuhan sebuah jawatankuasa perunding bagi membincangkan untuk meminda atau memansuhkan beberapa undang-undang syariah.

Antara yang dicadang untuk dimansuhkan ialah hukuman terhadap perbuatan berkhalwat yang didakwa melanggar hak kebebasan seseorang seperti termaktub di dalam Perlembagaan.

Jurucakap G25, Datuk Noor Farida Ariffin berkata, dengan berpandukan pada prinsip Perlembagaan, kumpulan tersebut menentang sebarang hukuman terhadap perbuatan khalwat jika dilakukan di rumah persendirian kerana itu adalah hak dan privasi setiap individu.

Menurutnya, perbuatan khalwat di tempat peribadi adalah dosa peribadi antara pelakunya dengan Allah kecuali jika dilakukan di kawasan awam, namun Malaysia adalah satu-satunya negara yang menjatuhkan hukuman terhadap kesalahan itu.

“Ini bertentangan dengan Islam. Apa orang buat di dalam rumah sendiri, anda tidak boleh ketuk pintu pada pukul 3 pagi dan menahan mereka, ini bertentangan dengan prinsip perundangan Islam, dosa peribadi adalah antara diri sendiri dengan Allah.

“Anda boleh masuk neraka atau tidak, atau apa sahaja tetapi bukan urusan undang-undang menghukum anda ke dalam penjara kerana melakukannya secara privasi di rumah, bukan taman awam,” tegasnya dalam sidang akhbar selepas Forum Islam Dalam Demokrasi Berparlimen di bangunan Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) hari ini.


Yang turut hadir, Penasihat G25, Tan Sri Mohd. Sheriff Mohd. Kassim dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Forum, Datuk M. Redzuan Kushairi.

Noor Farida berkata, pelaksanaan undang-undang syariah menjadi masalah apabila ia melanggar Perlembagaan sehingga menjadikan dosa peribadi seseorang sebagai satu kesalahan jenayah.

“Bidang kuasa jawatankuasa perunding ini adalah untuk melihat jika sesungguhnya undang-undang itu melanggar Perlembagaan, mereka akan mencadangkan ia dimansuhkan atau dipinda,” tegasnya.

Tambahnya, G25 akan mendapatkan kerjasama dan penglibatan daripada semua NGO dalam membincangkan perkara tersebut termasuk kemungkinan memohon dana kerajaan untuk memudahkan pergerakan mereka.

Sementara itu, M. Redzuan berkata, jawatankuasa tersebut akan melakukan kajian menyeluruh untuk ‘memperbetulkan’ beberapa perkara di dalam undang-undang syariah yang telah melangkaui sempadan Perlembagaan.

“Ini akan melibatkan masyarakat dan orang ramai, mereka akan mengkaji undang-undang syariah dan sivil untuk melihat di mana bahagian yang pelaksanaan syariah ini melampaui Perlembagaan,” jelasnya. – Utusan


Monday, 30 November 2015

#Duitdimanamana : Tempat letak kereta di hospital akan dikenakan caj


$Kementerian Kesihatan memutuskan untuk mengenakan caj bagi tempat letak kereta di kawasan hospital di zon tengah Semenanjung bagi mengelak salah guna kawasan parkir, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata langkah ini adalah untuk mengelak mereka yang tidak mempunyai urusan di hospital daripada menggunakan tempat parkir di hospital.

Beliau berkata, kementerian sedang menawarkan tender terbuka bagi syarikat yang ingin menguruskan tapak parkir di hospital secara sementara dengan kadar yang ditetapkan kementerian.

"Kadar tempat letak kereta akan kita tetapkan dan penender yang ingin libatkan diri kena ikut kadar yang telah ditetapkan," katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad (BN-Kuala Kangsar) yang mempersoalkan penyalahgunaan kemudahan tempat letak kereta di hospital oleh orang awam yang tidak mempunyai urusan di hospital.    

Dr Hilmi juga berkata, kementerian itu juga sedang berurusan untuk mengeluarkan tender bagi menambah bilangan parkir tambahan di semua hospital di seluruh negara.

Terdahulu semasa menjawab soalan Julian Tan Kok Ping (DAP-Stampin) yang bertanyakan tentang Hospital Umum Sarawak (HUS), beliau berkata kementerian sedang dalam perancangan untuk membina blok jagaan harian, blok patologi dan tempat letak kereta bertingkat yang bakal dilaksanakan secara kerjasama pihak awam dan swasta.

"Pembinaan blok jagana harian akan melibatkan tujuh buah dewan pembedahan, empat bilik endoskopi serta kemudahan wad yang diperlukan untuk memberi rawatan harian," katanya.

Dr Hilmi berkata blok tempat letak kereta bertingkat pula bakal memuatkan 1,750 lot yang turut melibatkan pembinaan kemudahan medihotel dengan kapasiti 160 bilik.

Katanya projek pembinaan tempat letak kereta akan melibatkan kos RM351 juta. - Bernama


Saturday, 28 November 2015

#HaramVape : Johor negeri pertama haramkan penjualan vape


Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, menitahkan penjualan rokok elektronik atau vape adalah diharamkan di negeri tersebut.

Laporan akhbar, The Star menyebut baginda memberi tempoh sebulan kepada semua peniaga vape di negeri itu untuk menutup premis perniagaan mereka bermula 1 Januari 2016.

"Ini adalah isu kesihatan dan bagaimana ia akan memberi kesan kepada generasi muda. Ia tidak ada kena-mengena dengan perniagaan dan sama sekali tidak ada kaitan dengan bangsa," titah baginda.

Kerajaan negeri juga diarahkan agar bersidang minggu hadapan untuk mempercepatkan proses tersebut.

Baginda juga mempersoalkan tindakan sesetengah ahli politik yang dilihat mengalah kepada kehendak dan permintaan peniaga vape.

"Beta mahu tahu jika peniaga vape akan membenarkan ahli keluarga atau anak-anak mereka menghisap vape, jika benar ia selamat seperti yang digembar-gemburkan," baginda bertitah.

Dengan perkembangan terbaharu ini telah menjadikan Johor negeri pertama yang mengharamkan penjualan vape.

Setakat ini, belum ada kajian saintifik yang membuktikan bahawa vape boleh membantu menghentikan ketagihan rokok, sebaliknya pakar percaya vape akan menyebabkan satu bentuk ketagihan baharu di kalangan golongan muda.


Tuesday, 17 November 2015

TUE MAKAN DIA!! Akhirnya Pembunuh Arwah Kerani Sekolah Agama Dicekup...

Polis Muar menahan enam lelaki Nepal berusia 25 hingga 43 tahun bagi membantu siasatan kes bunuh dan rompak kerani Sekolah Agama Sungai Raya di Sungai Terap di sini, petang semalam.

Ketua Polis daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada 5 petang semalam, beberapa anggota polis bergegas ke lokasi.

Katanya, apabila tiba pihaknya menemui seorang wanita terbaring dengan kesan jerutan di leher di depan bilik utama rumah itu.

"Berikutan itu, kami menubuhkan satu pasukan khas bagi menjejak penjenayah berkenaan.
"Pada masa sama, kami menahan enam lelaki warga Nepal berusia 25 hingga 43 tahun yang bekerja di kawasan berhampiran bagi membantu siasatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini, hari ini.



Saturday, 14 November 2015

Tue Makan Dia ! Page Alvin Tan Akhirnya Dibuang Facebook


 Facebook akhirnya telah membuang page Alvin Tan, sehari selepas dia memuat naik beberapa gambar yang menghina Islam.

Alvin Tan yang kini berada di Amerika Syarikat mengesahkan perkara itu di profil facebooknya.

"Page Facebook saya (yang telah diverified) telah disekat buat selamanya.", katanya dengan menyalahkan mereka-mereka yang melaporkannya kepada Facebook.

Blogger berusia 26 tahun itu mencetus kemarahan ramai dengan memuat naik gambarnya yang sedang membuang air sambil memegang Al-Quran dan menggunakan halaman Quran sebagai tisu tandas. - Siakapkeli.my




Saturday, 5 September 2015

Media sosial boleh merosakkan akhlak terutama kepada anak muda - Rosmah



 Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkata media sosial boleh merosakkan akhlak terutama kepada anak-anak muda kerana menyebarkan sesuatu berita tanpa etika dan adab.

Rosmah yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) berkata apa yang menyedihkan terdapat  sebilangan kecil rakyat terutama golongan muda tanpa segan silu menyebarkan fitnah.

"10 isu teratas di seluruh dunia mengenai media sosial ialah berkaitan dengan 'misinformation' (maklumat yang salah). Ini bermakna media sosial telah disalah gunakan sebagai ruang untuk menyebarkan fitnah, hasutan, benci-membenci serta menyemarakkan api perkauman.

"Lebih membimbangkan, ledakan kepesatan teknologi digunakan dengan berleluasa bukan untuk tujuan kebaikan, tetapi sebaliknya dijadikan senjata untuk memporak-perandakan negara serta menimbulkan kekacauan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam 'Sehati Kita Sejiwa' dan Penutupan Rasmi Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia (PTIWRBNM) 2015 di sini, malam ini.

Mengenai program itu, Rosmah berkata walaupun temasya berkenaan merupakan kejohanan sukan, ia juga meliputi aspek intelektual sebagai santapan minda.

Beliau berkata program itu dimulakan dengan penganjuran Forum Media Sosial: Manfaat atau Mudarat, yang mana peserta telah didedahkan dengan baik dan buruk  penggunaan media sosial serta impaknya kepada masyarakat.

Katanya penganjuran program tahunan itu berjaya mencapai matlamatnya terutama membentuk persefahaman serta memupuk semangat kemesraan dalam kalangan isteri wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

"Saya percaya sepanjang kejohanan ini berlangsung, ia bukan sahaja berlaku dalam suasana kesukanan, malah dipenuhi dengan semangat kekeluargaan serta keharmonian dalam kalangan pemimpin Barisan Nasional, Alhamdulillah.

"Semangat sedemikian amat bertepatan dengan tema Hari Kebangsaan 2015 iaitu Sehati Sejiwa," katanya.

Rosmah juga menyeru kepada anggota badan-badan amal yang masih muda dan bertenaga agar menyertai acara-acara sukan PTIWRBNM pada tahun depan.
"Bukan kerana apa, tetapi puan-puan sekalian lah pewaris serta pelapis bagi memastikan kesinambungan kejohanan ini pada masa depan.

"Saya turut berharap agar temasya ini menjadi inspirasi kepada peserta yang lebih muda untuk menjadikan sukan sebagai satu gaya hidup harian," katanya.

Beliau juga berkata temasya PTIWRBNM 2016 akan diadakan di Kedah.